Ziarah Kasih Biro Kebajikan UMNO Putrajaya Hulur Sokongan Kepada Pesakit
PUTRAJAYA – Biro Kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya bersama Wanita UMNO Bahagian Putrajaya yang diketuai Puan Husna Abdul Rahaman, telah mengadakan program Ziarah Kasih ke beberapa lokasi sekitar Putrajaya termasuk Presint 9, Presint 5 serta Hospital Putrajaya.
Program ini bertujuan menzahirkan keprihatinan dan semangat kebersamaan UMNO dalam membantu serta memberi sokongan moral kepada ahli keluarga dan pesakit yang sedang diuji dengan kesihatan dan musibah.
Antara yang diziarahi ialah anakanda Nur Afiq Hakimin Nur Azuan, yang terlibat dalam kemalangan di Perak ketika dalam perjalanan pulang ke UiTM Permatang Pauh; saudara Mohd Zulhilmi, yang turut terlibat dalam kemalangan ketika menuju ke tempat kerja di IOI Putrajaya; serta saudari Edrina Sofia, yang sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
Puan Husna dalam lawatan itu menzahirkan harapan agar semua pesakit diberikan kesembuhan segera serta kekuatan kepada keluarga untuk terus tabah menghadapi ujian.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Putrajaya, melalui Biro Kebajikan dan Wanita, akan terus komited mendekati masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan, selaras dengan semangat perjuangan parti untuk membela rakyat. – UMNOPutrajaya




