Tengku Adnan Santuni Calon SPM, Tekankan Pentingnya Ilmu Demi Masa Depan
PUTRAJAYA, 30 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyeru generasi muda agar menjadikan ilmu sebagai landasan utama dalam membina masa depan yang gemilang demi agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam program Restu Ilmu di sekolah di sini, semalam.
Dalam program berkenaan, Tengku Adnan juga telah menyerahkan sumbangan berupa alat tulis kepada seramai 220 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (2) dan 225 calon di SMK Putrajaya Presint 16 (1).
Menurut beliau, sumbangan tersebut bukan sekadar pemberian material, tetapi simbol keprihatinan dan sokongan berterusan kepada anak-anak Putrajaya yang bakal menduduki peperiksaan penting itu.
““Ilmu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi menjadi kunci masa depan. Dengan ilmu, kita boleh mengubah nasib keluarga, memperkukuh bangsa dan memajukan negara. Jangan sesekali berhenti menuntut ilmu, kerana perjuangan sebenar tidak pernah selesai.
“Tanpa ilmu, kita akan hilang arah dan sukar untuk memajukan diri serta negara. Saya mahu anak-anak Putrajaya menjadikan ilmu sebagai perjuangan utama dalam kehidupan. Belajar bersungguh-sungguh, hormati guru, dan jangan pernah putus asa dalam menuntut ilmu,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perjuangan menuntut ilmu adalah sebahagian daripada jihad dan merupakan kesinambungan kepada perjuangan besar UMNO selaku perintis semangat nasionalisme yang memperkasakan bangsa melalui pendidikan dan pembangunan insan.
“Sejak dahulu usaha untuk memperjuangkan pendidikan demi rakyat daripada penubuhan sekolah Melayu, biasiswa pelajar luar negara, hingga ke universiti tempatan. Ini semua hasil perjuangan berterusan kerana kita percaya bahawa hanya dengan ilmuanak bangsa akan dapat terus berdiri megah di bumi sendiri,” ujar beliau lagi.
Tengku Adnan turut berpesan kepada calon-calon SPM ini agar tidak mudah leka dengan cabaran dunia digital yang sering mengalihkan tumpuan mereka.
“Gunakan teknologi untuk belajar, bukan untuk lalai. Jadilah generasi yang berdisiplin, berakhlak dan berjiwa besar. Negara ini memerlukan anak muda yang bukan sahaja bijak, tetapi juga beradab dan berpegang kepada nilai perjuangan bangsa,” katanya.
Program Restu Ilmu itu turut diisi dengan bacaan doa, sesi motivasi ringkas dan pertemuan mesra bersama guru-guru yang mencerminkan kesungguhan komuniti sekolah dalam memastikan calon-calon SPM tahun 2025 bersedia secara mental dan rohani menghadapi cabaran mendatang.
Tengku Adnan juga menegaskan bahawa perjuangan sebenar harus berpaksikan kepada teras ilmu yang akan dapat menyemai benih keutuhan kejayaan bangsa pada masa hadapan.
“Jadikan kejayaan dalam SPM sebagai permulaan kepada perjuangan hidup. Jangan berhenti menuntut ilmu. Dan yang paling penting, jangan lupa kepada perjuangan bangsa. Inilah semangat yang mesti ada dalam diri generasi muda kita,” tegas beliau lagi.
Turut bersama dalam program tersebut ialah Senator Dewan Negara yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya dan juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian terbabit, Dr Tengku Iqbal Munawwir serta barisan Biro Pendidikan UMNO Putrajaya. – UMNO Online

