KEMAS Putrajaya Kukuhkan Komuniti, Tengku Adnan Tekankan Perpaduan Bersama
PUTRAJAYA, 31 Okt – Usaha memperkasa komuniti setempat terus diperhebat apabila Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Putrajaya menganjurkan Bengkel Jawatankuasa Komuniti KEMAS Peringkat Parlimen Putrajaya Siri 1 & 2 Tahun 2025 yang dirasmikan oleh Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Rabu.
Ujarnya, program tersebut bukan hanya dapat meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam kalangan ahli jawatankuasa komuniti malah ia adalah antara usaha proaktif bagi memberi manfaat langsung kepada penduduk Putrajaya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan komuniti perlu berpaksikan semangat kerjasama, keprihatinan dan tindakan bersama semua pihak.
“Kita mahu komuniti di Putrajaya menjadi contoh iaitu masyarakat yang bersatu hati, saling membantu dan aktif menjalankan kegiatan kemasyarakatan. Peranan jawatankuasa komuniti amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa KEMAS bukan sekadar pelaksana program kerajaan, tetapi merupakan nadi penggerak komuniti yang memainkan peranan besar dalam meningkatkan kesejahteraan sosial melalui pelbagai inisiatif seperti pendidikan awal kanak-kanak, latihan kemahiran, pembangunan keluarga dan aktiviti kebajikan.
“Ini adalah antara inisiatif berterusan UMNO Putrajaya yang menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan Pusat serta badan-badan kemasyarakatan agar segala penambahbaikan dapat dilakukan secara holistik
“Bengkel ini juga adalah platform penting untuk membina jaringan sokongan antara agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan penduduk tempatan selaras dengan hasrat UMNO untuk memastikan setiap program komuniti dijalankan secara bersepadu dan memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta diberi pendedahan tentang strategi memperkukuh kepimpinan, pengurusan program secara efektif serta kaedah mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat di peringkat lokaliti.
Majlis turut disertai oleh pimpinan tempatan termasuk Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Husna Abdul Rahaman dan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir, pegawai KEMAS serta sukarelawan komuniti.
“UMNO Putrajaya sentiasa komited menyokong usaha memperkasa masyarakat tempatan ke arah komuniti yang sejahtera, progresif dan bersatu padu iaitu seiring aspirasi perjuangan dalam usaha memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat di setiap peringkat,” kata Tengku Adnan lagi. – UMNO Online


