Tengku Adnan Turun Padang, Seru Golongan Muda Bersama ‘Bikin Balik Sabah’
TAWAU, 14 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengadakan lawatan ke DUN Apas dan DUN Balung bagi menyantuni masyarakat setempat serta mendekati golongan muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal memulakan kempennya, esok.
Beliau menegaskan bahawa sokongan generasi muda amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini terhenti dapat diteruskan semula demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Golongan muda perlu terus memberi kepercayaan kepada BN untuk meneruskan legasi perjuangan yang terbina sekian lama. BN membawa rekod khidmat bakti, dan kesinambungan itu hanya dapat dipertahankan dengan mandat rakyat, khususnya anak muda,” katanya kepada UMNO Online.
Turut bersama mengiringi beliau ialah Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Salleh, serta calon BN bagi DUN Balung, Erwan Palateh dan calon BN DUN Kunak, Datuk Seri Anil Sandhu.
Ujar Tengku Adnan, kehadirannya di negeri ini adalah antara sokongan terhadap komitmen BN untuk memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan pengundi muda yang menjadi penentu utama landskap politik negeri.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa calon BN mampu menggalas amanah, termasuklah Anil Sandhu bagi membawa nafas baharu melalui pendekatan yang lebih progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Sokongan akar umbi perlu tetap teguh bersama BN. Dengan calon baharu, wajah baharu dan tekad baharu, kita membawa semangat untuk ‘bikin balik Sabah’ melalui agenda pembangunan menyeluruh dan penyelesaian masalah setempat,” katanya.
Berkaitan dengan gerak kerja yang perlu terus diaktifkan, beliau yakin anggota jentera parti akan mempergiatkan mobilisasi bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat termasuklah anak muda diberi keutamaan dalam setiap dasar dan pelan pembangunan yang dirangka BN.
“Moga Allah SWT terus meredhai perjuangan kita dan mengurniakan kejayaan kepada Barisan Nasional dalam PRN Sabah kali ini,” ujar Tengku Adnan lagi. – UMNO Online

