Berita

Tengku Adnan Ucap Tahniah, Kenang Peranan Tokoh dalam Perjuangan UMNO Putrajaya

PUTRAJAYA — Bendahari UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya bersama ahli jawatankuasanya menyampaikan ucapan tahniah kepada dua tokoh perkhidmatan awam yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) di kementerian masing-masing, sambil mengenang peranan penting mereka dalam perjuangan UMNO di Putrajaya.

Beliau menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada YBhg. Datuk Abdul Halim bin Hamzah atas pelantikannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, berkuat kuasa 24 November 2025.

Pelantikan ini disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan integriti beliau sepanjang perkhidmatan.
Datuk Seri Tengku Adnan turut merakamkan ucapan tahniah kepada YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, berkuat kuasa 23 Januari 2024.

Menurut beliau, kedua-dua tokoh ini bukan sahaja cemerlang dalam perkhidmatan awam, malah pernah memainkan peranan penting dalam UMNO Putrajaya. Mereka terlibat secara langsung dalam perjuangan parti dan pernah memegang tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Cawangan, masing-masing di UMNO Cawangan Matahari dan UMNO Cawangan Kasturi.

“Ini membuktikan bahawa UMNO terus melahirkan pemimpin berkualiti, berdisiplin dan berwibawa, bukan hanya untuk parti tetapi juga untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pelantikan kedua-dua individu berpengalaman ini akan memperkukuhkan tadbir urus kerajaan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Semoga amanah besar ini dapat digalas dengan penuh dedikasi dan memberi manfaat kepada negara serta seluruh Keluarga Malaysia,” tambahnya lagi. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.