Berita

BN Hormati Keputusan PRN Sabah 2025, Sedia Bekerjasama Bentuk Kerajaan Stabil

KOTA KINABALU, 29 Nov — Barisan Nasional (BN) merakamkan penghargaan kepada semua pengundi di Sabah yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pilihan raya yang menyaksikan 596 calon bertanding itu membuktikan kesuburan demokrasi di negeri berkenaan.

“Keputusan ini membuktikan bahawa Barisan Nasional masih mempunyai asas sokongan yang teguh dan terus menjadi salah satu blok politik penting dalam landskap politik Sabah.

“Sebagai sebuah parti yang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sealiran bagi membentuk sebuah Kerajaan baharu untuk kestabilan politik Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media berkaitan PRN hari ini.

Ahmad Zahid turut menyeru rakyat Sabah agar terus menjaga keamanan, perpaduan dan menghormati proses demokrasi yang sedang berlangsung.

Katanya, masa depan Sabah memerlukan iltizam semua pihak, dan BN komited memainkan peranan secara konstruktif bagi membawa negeri itu ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Hari ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berlangsung lancar melibatkan 882 pusat mengundi dan 3,559 saluran bagi memberi peluang kepada 1.74 juta pengundi melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.