Pemergian Bung Moktar… Tengku Adnan Zahir Ucapan Takziah
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berpandangan bahawa Allahyarham adalah ikon kepimpinan dan perjuangan yang terus istiqamah sehingga ke akhir hayat.
“Sungguh, Allahyarham adalah ikon kepimpinan dan perjuangan yang tidak pernah gentar dengan cabaran, setia setiap masa dan terus istiqamah hingga ke akhir hayatnya.
“Hari ini Allahyarham meninggalkan legasi yang tidak akan pernah dilupakan dalam nilai perjuangan bukan sahaja dalam UMNO dan Barisan Nasional tetapi juga dalam arena kepimpinan negara lantaran keteguhannya dalam prinsip yang tidak pernah goyah.
“Katalah apa pun, Allahyarham tetap berpegang kukuh, tidak pernah mundur atau beralah dan sentiasa kasih pada akar umbi asas perjuangan yang menjadi pegangannya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
“Kita hari ini bukan hanya kehilangan pemimpin tapi mengiringi perjalanan akhir seorang pejuang yang tidak ada galang ganti. Berehatlah sahabat.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, diterima amal baktinya dan dimuliakan kedudukan disisi-Nya. Al-Fatihah,” katanya.
Pada Jumaat media melaporkan Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital, di sini, sejak pagi Khamis. – UMNO Online

