Aktiviti & Komuniti

Usaha Gigih Murid Disambut Dalam Majlis Inspirasi Kecemerlangan Putrajaya

PUTRAJAYA — Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, hadir merasmikan Majlis Inspirasi Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) yang diadakan bagi meraikan murid-murid yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa gembira serta merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, khususnya Guru Besar Encik Norizan Naaim, YDP PIBG Encik Hasmarizwan Umar, serta seluruh warga pendidik atas usaha menganjurkan majlis yang memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan murid.

“Majlis ini mencerminkan semangat, usaha gigih dan dedikasi murid-murid dalam mengejar kecemerlangan akademik dan sahsiah. Kecemerlangan tidak dicapai dalam sekelip mata, sebaliknya menuntut usaha berterusan, disiplin tinggi dan sokongan padu daripada guru serta ibu bapa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kejayaan murid-murid yang diraikan sebagai bukti bahawa kegigihan dan fokus mampu membawa kepada pencapaian impian, sekali gus menunjukkan potensi besar mereka sebagai bakal pemimpin masa hadapan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas komitmen dan sokongan berterusan terhadap pendidikan anak-anak, serta menegaskan bahawa jasa dan pengorbanan para guru yang sentiasa mencurahkan ilmu dan bimbingan tanpa jemu menjadi tonggak kepada kecemerlangan murid.

“Tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga terus cemerlang dan menjadi kebanggaan keluarga, sekolah dan negara,” katanya mengakhiri ucapan.

Majlis berkenaan berlangsung dalam suasana meriah dengan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan kepada murid-murid yang layak. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.