Rancangan Pemajuan Putrajaya 2050 Disyor Optimumkan Infrastruktur dan Kemudahan Rekreasi
PUTRAJAYA — Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, memaklumkan bahawa satu taklimat berkenaan Rancangan Pemajuan Putrajaya 2050 (RPP 2050) telah dibentangkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Putrajaya.
RPP 2050 merupakan inisiatif jangka panjang PPj bagi merangka strategi pembangunan bandar Putrajaya sehingga tahun 2050. Berdasarkan maklumat semasa, Putrajaya kini mempunyai kira-kira 125,000 penduduk, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 325,000 orang menjelang tahun 2050.
Dalam sesi taklimat tersebut, pihak MPP telah mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan dalam perancangan pembangunan masa depan Putrajaya, antaranya:
1. Memastikan pembangunan perumahan baharu, khususnya apartment, mengambil kira keperluan tempat letak kereta serta penyuraian trafik.
2. Memanfaatkan Tasik Putrajaya dengan lebih optimum melalui penganjuran lebih banyak acara sukan air dan pembangunan restoran persisiran tasik.
3. Mengoptimumkan penggunaan 12 taman metropolitan di Putrajaya untuk kesejahteraan komuniti.
4. Memperhalusi keberkesanan konsep park n ride agar benar-benar memenuhi keperluan pengguna.
5. Menambah kemudahan sukan seperti kompleks sukan dengan trek olahraga dan padang hoki.
Datuk Ahmad Faisal berharap pelaksanaan RPP 2050 akan memberi manfaat besar kepada seluruh warga Putrajaya, sejajar dengan aspirasi bandar pintar, berdaya huni dan mampan menjelang 2050. – UMNOPutrajaya

