Hari Apresiasi TABIKA KEMAS Peringkat Parlimen Putrajaya 2025 Meriah
PUTRAJAYA – Program Hari Apresiasi TABIKA KEMAS Peringkat Parlimen Putrajaya Tahun 2025 berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik, ibu bapa serta murid-murid TABIKA KEMAS yang telah menunjukkan komitmen dan pencapaian cemerlang sepanjang tahun.
Program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor selain kehadiran Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya, Puat Husna Abdul Rahaman.
Majlis tersebut menghimpunkan para guru TABIKA KEMAS, pengurusan, ibu bapa serta kanak-kanak prasekolah dari sekitar Parlimen Putrajaya dengan pelbagai pengisian menarik disusun termasuk penyampaian sijil dan anugerah penghargaan, persembahan murid serta sesi simbolik penyampaian cenderamata.
Ujarnya, program ini bertujuan mengiktiraf peranan penting guru-guru TABIKA KEMAS dalam mendidik dan membentuk asas pendidikan awal kanak-kanak, selain menghargai sokongan berterusan ibu bapa dan komuniti setempat.
“Ini juga adalah platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan, pendidik dan masyarakat selain mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkasa pendidikan awal kanak-kanak.
“Usaha bagi memastikan kebajikan TABIKA KEMAS terus dipertingkat demi melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya



