Fitnah, Adu Domba & Kebenaran… Inspirasi Dari Realiti Politik
DALAM politik, kebenaran sering menjadi mangsa pertama. Fitnah dijadikan senjata, adu domba dijadikan modal, dan persepsi dibentuk untuk membunuh karakter. Semua ini diaplikasi untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin. Dalam hal ini bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah antara watak yang sering menjadi sasaran dalam usaha bukan hanya untuk membunuh kariernya tetapi juga menjatuhkan BN/UMNO.
Hakikatnya Tengku Adnan bukan tokoh yang muncul secara kebetulan. Beliau faham selok-belok politik, mengenal kawan dan lawan, tahu membaca gerak musuh tanpa perlu memusuhi kerana dalam dunia politik, beliau kekal berprinsip dan tegas tanpa tunduk pada tekanan.
Bayangkan, seorang tokoh korporat yang telah pun bergelar jutawan memilih untuk terjun ke gelanggang politik bukan kerana jawatan atau habuan, tetapi atas permintaan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, demi satu sebab besar: membantu bangsanya sendiri. Dan apabila sudah melangkah masuk, beliau tidak berpatah balik. Politik bukan persinggahan sebaliknya ia menjadi medan pengabdian seumur hidup.
Beliau pernah diangkat sebagai menteri, dan pernah juga digugurkan dari kabinet. Namun, di sinilah bezanya Tengku Adnan dengan pemimpin bermusim. Tidak ada episod merajuk, tidak ada drama meninggalkan parti, apatah lagi menikam dari belakang. Yang ada hanyalah kesetiaan dan fokus bekerja untuk rakyat tanpa banyak bicara.
Ketika Barisan Nasional rebah dan UMNO diuji paling getir, Tengku Adnan kekal berdiri teguh. Saat ramai memilih beralih kepada pihak lawan, berpaling tadah dan menghalalkan pengkhianatan atas nama “perubahan”, beliau tetap setia sebagai sebahagian kepimpinan tertinggi UMNO.
Lebih menyedihkan, ketika beliau berdepan perbicaraan dan turun naik mahkamah, fitnah semakin galak dilontarkan. Wajahnya dicalit lumpur, maruahnya dipertaruhkan, dan media pula memilih untuk menghukum sebelum kebenaran dibuktikan. Dalam suasana kerajaan ketika itu tidak lagi memihak, Tengku Adnan menjadi sasaran mudah ‘dipukul’ tanpa belas, dihukum tanpa simpati. Namun, apa yang musuh-musuhnya gagal fahami ialah satu perkara iaitu fitnah mungkin melukakan, tetapi ia tidak mematahkan orang yang ikhlas berjuang.
Dalam diam, Tengku Adnan terus membantu rakyat malah tanyalah warga Putrajaya, sekalipun hari ini beliau bukan wakil rakyat namun bantuan dan sumbangan tidak pernah putus.
Dalam tekanan, beliau terus bekerja. Tanpa simpati media, tanpa perlindungan kuasa, beliau memilih untuk kekal cekal, tabah dan tenang… terus melangkah walau dihujani prasangka.
Sejarah mencatat tiada pemimpin yang sempurna, tetapi Tengku Adnan adalah pemimpin yang setia, konsisten dan tidak pernah lari daripada tanggungjawab. Dalam politik yang penuh pengkhianat dan oportunis, sifat inilah yang paling dibenci musuh kerana ia tidak boleh dibeli, tidak boleh ditakutkan, dan tidak boleh dipatahkan.
Fitnah akan berlalu. Adu domba akan basi. Tetapi kebenaran, walau lambat, tetap akan berdiri. Dan itulah pegangan Tengku Adnan, bukan kerana tuduhan, tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian untuk terus berjuang ketika orang lain memilih untuk melarikan diri.
Moga menjadi inspirasi agar tidak menghukum sebelum menilai….
– anonymous –

