Program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ Bantu Ringankan Beban Keluarga Putrajaya
PUTRAJAYA, 12 Jan – Senator Dewan Negara merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya telah menyempurnakan Program ‘Jom Kembali ke Sekolah’ sempena sesi persekolahan 2026 yang bermula hari ini.
Ujarnya, program yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dan Majlis Guru Besar Sekolah Putrajaya ini bertujuan meringankan beban keluarga B40 khususnya dalam penyediaan keperluan persekolahan anak-anak.
Beliau yang mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan penghargaan atas sumbangan 500 unit beg sekolah yang telah disampaikan kepada murid-murid sekolah rendah di sini sebagai.komitmen berterusan Yayasan Didik Negara selaras dengan usaha memastikan kebajikan dan akses pendidikan murid sentiasa diberi perhatian.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan fizikal, malah merupakan simbol keprihatinan dan sokongan berterusan kepada anak-anak Putrajaya, khususnya daripada keluarga B40. Diharapkan ia dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin,” katanya.
Jelasnya, kepercayaan tersebut disifatkan sebagai satu penghargaan besar dan pemangkin untuk terus komited menyokong agenda pendidikan serta kebajikan anak-anak Putrajaya secara berterusan.
“Setinggi-tinggi penghargaan turut diberikan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, khususnya Pengarahnya, Nadimin Abdul Aziz, atas kepercayaan yang diberikan kepada Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya bagi melaksanakan program ini.
“Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Norizan Naaim, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18/1, serta seluruh warga sekolah atas kesudian menjadi tuan rumah program. Penganjuran majlis yang teratur dan cemerlang jelas mencerminkan komitmen tinggi pihak sekolah dalam menjayakan inisiatif kebajikan pendidikan.”
Hisamudin turut menitipkan pesanan kepada murid-murid penerima bantuan agar memanfaatkan peluang pendidikan sebaik mungkin.
“Rebutlah peluang menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan dan jadikan sumbangan ini sebagai bukti bahawa ramai pihak mengambil berat akan masa depan kalian. Insya-Allah, dengan usaha, doa dan sokongan berterusan, kalian mampu menjadi insan berjaya yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

