Berita

Perhimpunan Agung UMNO 2025 Medan Perkukuh Kesatuan dan Hala Tuju Parti

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Perhimpunan Agung UMNO 2025 disifatkan sebagai wadah penting untuk menyatukan suara, menyusun kekuatan serta memperteguh perjuangan parti dalam mendepani cabaran semasa politik, ekonomi dan sosial negara.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, meskipun perhimpunan ini merupakan acara tahunan yang sentiasa dinanti oleh ahli dan perwakilan, maknanya jauh melangkaui rutin biasa kerana ia menjadi medan muhasabah dan pembaharuan demi kelangsungan perjuangan parti.

Menurut beliau, cabaran yang dihadapi rakyat hari ini menuntut UMNO untuk sentiasa memperbaharui pendekatan, memperkukuh kepercayaan rakyat serta memastikan parti kekal relevan sebagai wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

“Tekad dan semangat yang dibawa dalam Perhimpunan Agung ini harus sentiasa baharu. UMNO perlu berani melakukan muhasabah dan pembaharuan agar terus diyakini rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2025 wajar dijadikan ruang terbaik untuk memperkukuh muafakat dalam kalangan ahli dan pimpinan di semua peringkat, dengan perbezaan pandangan diraikan secara matang demi mencapai persamaan matlamat.

Tambah beliau, semangat kebersamaan dan kesatuan yang kukuh amat penting bagi memastikan UMNO terus memainkan peranan signifikan dalam membela nasib rakyat serta menjamin kestabilan dan masa depan negara.

“Diharapkan perhimpunan kali ini melahirkan iltizam yang jelas, keputusan yang berani serta hala tuju yang diyakini rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.