Idea “Rumah Bangsa” Model Politik Baharu Tarik Minat Anak Muda – Tengku Muhammed Hafiz
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO wajar dilihat sebagai satu model politik baharu yang segar, inklusif dan selari dengan realiti generasi muda masa kini, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan.
Menurut beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, pendekatan politik yang bersifat nostalgia semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menarik minat anak muda, sebaliknya golongan tersebut mahukan ruang yang memberi makna, peranan serta jaminan masa depan dalam perjuangan politik.
“Rumah Bangsa tidak boleh difahami sekadar sebagai simbol atau slogan, tetapi perlu menjadi satu wadah yang membina rasa memiliki. Ia mesti menjadi tempat anak muda merasakan diri mereka diterima, didengar dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada perjuangan,” katanya.
Beliau menegaskan, Rumah Bangsa juga perlu berfungsi sebagai platform yang membuka ruang kepada bakat dan suara generasi baharu untuk berkembang, bukan sekadar menjadikan mereka penonton atau penyokong tanpa peranan sebenar.
Dalam masa sama, Tengku Muhammed Hafiz berkata usaha mengekalkan relevansi UMNO memerlukan keberanian untuk melakukan pembaharuan tanpa mengabaikan nilai, jati diri serta sejarah perjuangan parti.
“Rumah Bangsa perlu mencerminkan wajah masa depan iaitu berpijak pada sejarah, berteraskan nilai, namun melangkah seiring dengan aspirasi anak muda. Dengan pendekatan ini, UMNO bukan sahaja mampu menarik sokongan, malah membina generasi pelapis yang benar-benar merasakan perjuangan parti ini sebagai milik mereka,” ujarnya.
Beliau percaya konsep Rumah Bangsa berpotensi menjadi pemangkin kepada pengukuhan sokongan generasi muda terhadap UMNO, seterusnya memastikan kesinambungan perjuangan parti dalam landskap politik negara yang semakin dinamik. – UMNO Online

