Penyatuan Politik Melayu-Islam Demi Masa Hadapan Negara – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dengan lancar dan penuh semangat, sekali gus mencerminkan kesatuan serta komitmen ahli-ahli parti dari seluruh negara dalam memperkukuh perjuangan UMNO.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perhimpunan tahunan itu menjadi wadah penting untuk mengukuhkan kembali perjuangan bangsa Melayu dan Islam sebagai teras kekuatan parti, selaras dengan prinsip serta sejarah penubuhan UMNO.
Menurut beliau, pelbagai isu berkaitan kepentingan agama dan bangsa telah dibincangkan secara bersama dalam semangat muafakat dan kebersamaan.
“Antara penekanan utama perhimpunan kali ini ialah usaha untuk mewujudkan satu kolaborasi agung yang melibatkan semua parti politik Melayu-Islam demi masa hadapan serta kepentingan agama dan bangsa secara keseluruhan,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar usaha penyatuan tersebut dapat direalisasikan dengan sebaiknya, mengambil iktibar daripada penyatuan bangsa Melayu pada tahun 1946 yang menjadi titik penting dalam sejarah negara. – UMNO Online

