Berita

Kerjasama Strategik, UMNO Putrajaya Komited Perkasa Pendidikan Anak-Anak Tempatan

PUTRAJAYA, 22 Jan – Pendidikan sentiasa diberi keutamaan dalam usaha memastikan masa depan dan kesejahteraan anak-anak di Putrajaya terjamin sebagaimana langkah Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nadimin Abd. Aziz, baru-baru ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, pertemuan tersebut bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik antara pihak biro dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dalam usaha memantapkan agenda pendidikan di kawasan berkenaan.

“Dalam pertemuan ini, saya bersama barisan Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya telah membangkitkan empat perkara utama untuk dibincangkan secara lebih terperinci,” jelas beliau.

Empat perkara tersebut ialah:
1. Cadangan mewujudkan sekolah sukan di Putrajaya bagi melahirkan bakat sukan secara lebih tersusun dan berfokus.
2. Keperluan Sekolah Agama Harian bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahukan pendidikan agama yang lebih holistik untuk anak-anak.
3. Cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam bagi menyediakan laluan pendidikan pra-universiti yang lebih sistematik.
4. Cadangan penempatan semula JPWPP ke kawasan yang lebih sesuai dan strategik bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Menurut Hisamudin, pihak biro turut meminta sokongan JPWPP untuk bersama-sama merealisasikan cadangan pembinaan padang hoki di Putrajaya sebagai usaha memperkasa pembangunan sukan pelajar.

Selain itu, beliau turut melaporkan pelaksanaan program FIFA for School yang melibatkan beberapa buah sekolah di Putrajaya serta berkongsi perkembangan terkini mengenai padang FIFA di SMK Presint 11 (2) yang dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar dan komuniti setempat.

“Dalam pertemuan ini juga, saya telah menyenaraikan pelbagai aktiviti dan program pendidikan yang telah dirangka dan bakal dilaksanakan oleh Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya sepanjang tahun 2026, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh kualiti pendidikan di Putrajaya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JPWPP atas kesediaan mendengar pandangan serta memberi komitmen terhadap usaha-usaha penambahbaikan pendidikan demi kepentingan generasi akan datang. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.