Datin Seri Anggraini Sentiyaki Ziarah Arwah Pak Engku, Pemergian Tokoh Disayangi Ramai
PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya berkongsi rasa dukacita dan hiba atas pemergian Allahyarham Tuan Haji Tengku Bidin bin Tengku Jusoh, mantan Ketua Cawangan UMNO Bunga Pakma, yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.30 petang tadi di Hospital Putrajaya pada usia 75 tahun.
Sebagai tanda penghormatan dan keprihatinan, Datin Seri Anggraini Sentiyaki, isteri kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, telah menziarahi kediaman Allahyarham bagi menyampaikan ucapan takziah serta berkongsi rasa sedih bersama ahli keluarga.
Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Engku merupakan seorang tokoh masyarakat yang amat disegani serta banyak menabur jasa kepada penduduk Putra Harmoni dan warga Putrajaya keseluruhannya.
Beliau juga antara pemimpin terawal yang memainkan peranan penting dalam penubuhan cawangan-cawangan UMNO di Putrajaya, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan parti di peringkat akar umbi.
Pemergian Allahyarham amat menyentuh hati seluruh ahli UMNO dan masyarakat setempat, lebih-lebih lagi apabila beliau baru sahaja kehilangan isteri tercinta kira-kira tiga minggu lalu, dan kini Allahyarham pula menyusul pergi, meninggalkan kenangan serta jasa yang tidak ternilai.
Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, sentiasa mendekati masyarakat, ringan tulang membantu dan komited dalam perjuangan parti serta khidmat kemasyarakatan.
UMNO Putrajaya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.- UMNOPutrajaya



