Berita

UMNO Putrajaya Rakam Takziah, Kenang Jasa Allahyarham Tuan Haji Tengku Bidin

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan seluruh kepimpinan UMNO Putrajaya, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Haji Tengku Bidin bin Tengku Jusoh, 75, mantan Ketua Cawangan UMNO Bunga Pakma, yang telah kembali ke rahmatullah di Hospital Putrajaya, pada petang Isnin.

Menurut Datuk Seri Tengku Adnan, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada warga Putra Harmoni dan Putrajaya keseluruhannya. Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin masyarakat yang komited, berjiwa rakyat serta banyak menabur jasa sepanjang penglibatan beliau dalam UMNO.

“Allahyarham adalah antara pemimpin terawal yang memainkan peranan penting dalam penubuhan cawangan UMNO di Putrajaya. Sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat setempat akan sentiasa dikenang,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Tengku Adnan turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Beliau juga mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian serta kehilangan yang amat besar ini.

“Sesungguhnya kita datang daripada Allah dan kepada-Nya jua kita kembali,” katanya. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.