Berita

Tengku Adnan Ucap Selamat Hari Wilayah Persekutuan, Seru Semangat Perpaduan Sempena Thaipusam

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan Selamat Hari Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan serta Selamat Hari Thaipusam kepada penganut Hindu yang meraikannya.

Beliau berkata, sambutan pelbagai perayaan secara bersama bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat majmuk di Malaysia, malah menjadi lambang keharmonian serta kekuatan perpaduan rakyat.

Menurutnya, budaya berkongsi kegembiraan, saling menghormati dan memahami antara kaum perlu terus dipelihara demi memastikan negara kekal aman dan stabil.

“Perkongsian perayaan sebegini mencerminkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia. Kita hidup dalam suasana saling menghormati, memahami serta meraikan perbezaan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, nilai perpaduan, toleransi dan kasih sayang harus terus disemai dalam kalangan masyarakat bagi memperkukuh kesatuan dalam kepelbagaian.

Beliau turut berharap sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam kali ini dapat diraikan dengan penuh kegembiraan serta menjadi detik mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat.

“Semoga keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta terus terpelihara. Selamat meraikan dan selamat bercuti,” ujarnya. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.