Ketua Pemuda UMNO Putrajaya Santuni Warga SMK Alam Shah, Teruskan Tradisi Kongsi Rezeki
PUTRAJAYA – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat terus menjadi keutamaan apabila Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Dr. Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan, turun padang menyantuni warga Surau SMK Alam Shah, Presint 1, dalam program perkongsian rezeki bersama pelajar serta komuniti setempat.
Program yang diadakan secara santai namun penuh makna itu menyaksikan Dr. Tengku Iqbal meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar serta warga kariah surau. Kehadiran beliau disambut mesra, mencerminkan hubungan rapat antara kepimpinan Pemuda UMNO dengan masyarakat akar umbi.
Sememangnya aktiviti kebajikan seperti ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan rutin setiap hari Jumaat yang konsisten dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan pelajar dan komuniti setempat.
Apa yang pasti, berkongsi rezeki bukan soal jumlah, tetapi soal kebersamaan dan saling menyantuni malah inilah tanggungjawab dalam bermasyarakat.
Dalam program tersebut, sumbangan makanan diagihkan kepada para pelajar dan warga kariah sebagai usaha berkongsi rezeki. Lebih daripada itu, ia menjadi platform mengeratkan ukhuwah antara generasi muda dan kepimpinan setempat.
Dalam hal tersebut, terbukti bahawa Pemuda UMNO Putrajaya terus komited menjalankan program berteraskan kebajikan dan pembangunan sahsiah anak muda agar tiada golongan yang terpinggir.
Pendekatan turun padang secara konsisten ini selari dengan semangat perjuangan yang dibawa, iaitu mendahulukan rakyat berbanding alasan atau retorik semata-mata dengan slogan ‘Teguh bersama, tak banyak alasan.’
Itulah prinsip yang dipegang iaitu bekerja, berkhidmat dan terus menyumbang demi kesejahteraan komuniti Putrajaya. – UMNOPutrajaya




