Berita

Pererat Muafakat Di Mini Karnival Komuniti Putrajaya

PUTRAJAYA – Isteri kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki, meluangkan masa bersama warga setempat dengan menghadiri Mini Karnival Komuniti Putrajaya yang berlangsung meriah di Perkarangan Tempat Letak Kereta Dewan Serbaguna, Presint 9, semalam.

Program anjuran MPPSZ2 dan MPPSZ6 dengan kerjasama Rasa Suri, Perbadanan Putrajaya (PPJ) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kekeluargaan dan komuniti.

Antara tarikan utama ialah pertandingan masakan dan pertandingan mewarna kanak-kanak yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang, selain pameran kesedaran AADK serta pemeriksaan kesihatan percuma untuk orang ramai. Pelbagai hadiah menarik turut disediakan bagi para peserta.

Kehadiran Datin Seri Anggraini Sentiyaki jelas menceriakan suasana apabila beliau turut beramah mesra dan menyantuni peserta serta penganjur, sekali gus menunjukkan sokongan terhadap usaha memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti Putrajaya.

Program seumpama ini diharap dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memupuk gaya hidup sihat, memperkasakan institusi keluarga dan mengeratkan perpaduan masyarakat setempat. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.