Berita

UMNO Putrajaya Hulur Bantuan Katil Hospital, Prihatin Kesusahan Warga Uzur

PUTRAJAYA, 9 Feb – Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan UMNO Bahagian Putrajaya dengan sekali lagi tampil menghulurkan bantuan kepada warga yang memerlukan, kali ini melalui sumbangan sebuah katil hospital khas kepada seorang penduduk tempatan yang sedang berdepan masalah kesihatan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan, dalam satu kunjungan ziarah ke kediaman penerima, Nik Azhar Nik Suki, yang kini sedang diuji dengan masalah kesihatan dan memerlukan kemudahan perubatan lebih selesa di rumah.

Dr Tengku Iqbal berkata, program bantuan seumpama itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UMNO Putrajaya untuk sentiasa dekat dengan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Menurut beliau, keperluan asas kesihatan seperti katil hospital amat penting khususnya bagi pesakit yang terlantar, kerana ia bukan sahaja membantu proses rawatan malah mengurangkan beban fizikal penjaga.

“Melalui inisiatif kebajikan ini, katil hospital dipasang bagi memudahkan pergerakan serta penjagaan harian pesakit, sekali gus memberi keselesaan kepada ahli keluarga yang menguruskannya.

“Kita bukan sekadar hadir bertanya khabar, tetapi memastikan bantuan yang benar-benar diperlukan sampai terus kepada mereka. Semoga sumbangan kecil ini dapat memberi keselesaan kepada Saudara Nik Azhar serta memudahkan urusan keluarga beliau,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Putrajaya akan terus memperkukuhkan agenda kebajikan masyarakat melalui pelbagai program bantuan, khususnya kepada golongan uzur, sakit dan kurang berkemampuan.

“Program sebegini merupakan sebahagian daripada inisiatif UMNO Putrajaya yang sentiasa komited menyantuni rakyat serta memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya, selaras dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti sebagai satu keluarga besar,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.