Salam Ramadan, Tengku Adnan Titip Doa Keberkatan Untuk Semua
PUTRAJAYA – Sempena ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak 1447H/2026M, Bendahari UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor bersama isteri tercinta, Datin Seri Utama Anggraini Sentiyaki, menzahirkan ucapan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada seluruh umat Islam, khususnya warga Putrajaya.
Menurut beliau, Ramadan bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi medan terbaik untuk memperkukuh keimanan, memperbaiki diri serta menyemai nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat.
Katanya, dalam suasana dunia yang penuh cabaran, Ramadan hadir sebagai bulan yang mendidik jiwa agar lebih sabar, bersyukur dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Selamat menunaikan ibadah puasa. Semoga Ramadan kali ini membawa seribu keberkatan, keampunan dan ketenangan buat kita semua. Jadikanlah bulan yang mulia ini sebagai ruang untuk kita memperbaiki hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan silaturahim sesama insan,” ujar beliau.
Beliau turut mengajak masyarakat untuk memperbanyakkan amalan bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan agar keberkatan Ramadan dapat dirasai secara menyeluruh.
Katanya lagi, semangat kebersamaan dan saling membantu perlu terus diperkukuh agar tiada golongan yang terpinggir, khususnya dalam menghadapi kos sara hidup yang mencabar.
Dalam masa sama, beliau berharap agar Ramadan kali ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik dalam diri setiap individu serta membawa sinar harapan baharu kepada negara.
“Ramadan adalah madrasah tarbiah yang mendidik hati dan jiwa. Semoga segala amalan kita diterima dan kita dipertemukan dengan malam Lailatulqadar yang penuh kemuliaan,” tambah beliau lagi. – UMNOPutrajaya

