Tengku Adnan Teruskan Tradisi Melalui Program Nur Ramadan 2026 Dan Maidatul Rahman
PUTRAJAYA – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, meneruskan rutin tahunan beliau dengan menganjurkan Program Sumbangan Nur Ramadan 2026 bagi membantu golongan memerlukan termasuklah warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga yang tidak bernasib baik di sekitar Putrajaya.
Ujarnya, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima sempena bulan Ramadan ini, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturrahim antara pemimpin dan masyarakat.
Menurut Tengku Adnan, program berkenaan merupakan komitmen berterusan pihaknya setiap tahun dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Ini adalah rutin tahunan yang kita laksanakan setiap kali menjelang Ramadan. Kita mahu memastikan golongan warga emas, OKU dan mereka yang kurang berkemampuan tidak terpinggir serta dapat membuat persiapan menyambut Ramadan dengan lebih tenang,” katanya selepas program terbabit, baru-baru ini.
Turut bersama beliau ialah isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki selain Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Husna Rahaman dan Ketua Pemuda Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir.
Dalam kesempatan tersebut, Tengku Adnan yang turut meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni para penerima berkata, usaha tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan yang perlu dipupuk dalam masyarakat.
“Kita bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi yang lebih penting ialah mengeratkan silaturrahim. Ramadan mengajar kita erti kasih sayang, berkongsi rezeki dan mengambil berat antara satu sama lain,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Adnan turut menyeru lebih banyak pihak termasuk badan korporat dan individu berkemampuan agar tampil menyumbang serta bersama-sama membantu golongan memerlukan.
“Jika kita semua memainkan peranan, insya-Allah tiada siapa yang akan tercicir. Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita kekalkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tengku Adnan turut memaklumkan bahawa Program Maidatul Rahman, iaitu acara berbuka puasa beramai-ramai yang menjadi tradisi tahunan di Putrajaya, akan diteruskan pada tahun ini.
Menurut beliau, program tersebut akan berlangsung bermula 20 Februari hingga 15 Mac, bersamaan 2 Ramadan hingga 25 Ramadan, bertempat di No. 66, Nadi 15, Jalan Perak P15, Putrajaya.
“Maidatul Rahman ini adalah program berbuka puasa secara berjemaah yang kita adakan setiap tahun sejak lebih 20 tahun lalu. Alhamdulillah, sambutannya sentiasa menggalakkan. Insya-Allah tahun ini kita teruskan lagi supaya lebih ramai dapat bersama-sama merasai kemeriahan berbuka dalam suasana penuh ukhwah,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut sepanjang tempoh yang ditetapkan. – UMNO Online

