Aktiviti & Komuniti

Gotong-Royong Kacau Bubur Lambuk Eratkan Silaturahim Konuniti Putrajaya

PUTRAJAYA – Program Kacau Bubur Lambuk Komuniti yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Putrajaya berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat serta kepimpinan setempat yang hadir bagi memeriahkan suasana gotong-royong sempena bulan Ramadan.

Antara yang turut hadir memberikan sokongan ialah Datin Seri Angraini Sentiyaki, isteri kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Kehadiran beliau jelas mencerminkan sokongan padu terhadap program kemasyarakatan yang menjadi tradisi setiap kali menjelang Ramadan.

Program tersebut menyaksikan ahli-ahli UMNO serta sukarelawan berganding bahu menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada masyarakat setempat sebagai tanda keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki di bulan yang mulia.

Turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan ialah Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim dan juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahaman yang menghantar pasukan Wanita untuk bersama-sama membantu dalam program kacau bubur lambuk tersebut.

Penglibatan jentera Wanita UMNO Bahagian Putrajaya memperlihatkan komitmen tinggi mereka dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, sekali gus mengeratkan hubungan antara kepimpinan parti dengan masyarakat setempat.

Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan tradisi gotong-royong dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform untuk mengukuhkan semangat perpaduan, kebersamaan dan nilai prihatin terhadap golongan yang memerlukan.

Selain menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai, program berkenaan juga menjadi medan pertemuan santai antara pemimpin dan masyarakat, selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan, keikhlasan serta saling membantu antara satu sama lain.

Inisiatif seperti Program Kacau Bubur Lambuk Komuniti ini diharap dapat terus dianjurkan pada masa hadapan sebagai usaha memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai semangat kebajikan dalam kalangan masyarakat. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.