Tradisi Ramadan: UMNO Putrajaya Laksana Edaran Bubur Lambuk, Santuni Pesakit dan Petugas Hospital
PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan tradisi kebajikan sempena Ramadan dengan melaksanakan program edaran bubur lambuk kepada kakitangan dan pelawat di Lobi Hospital Putrajaya, selain mengadakan lawatan bagi menziarah pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan semangat kebersamaan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya dalam menyantuni masyarakat, khususnya golongan yang bertugas dan mereka yang sedang diuji dengan kesihatan sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut dilaksana bersama isteri Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datin Seri Angraini Sentiyaki bersama Ketua Wanita Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahaman di samping ahli jawatankuasa parti terbabit yang merealitikan manifestasi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Melalui program tersebut, ratusan bekas bubur lambuk diagihkan kepada kakitangan hospital, petugas barisan hadapan serta para pelawat yang berada di lobi hospital sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap pengorbanan mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat berjalan lancar.
Selain pengagihan bubur lambuk, UMNO Putrajaya turut mengambil kesempatan menyantuni beberapa pesakit bagi menyampaikan kata-kata semangat serta mendoakan kesejahteraan mereka agar diberikan kesembuhan.
Sememangnya program seperti ini bukan sekadar mengagihkan makanan, tetapi menjadi medium untuk mendekati masyarakat serta menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan ahli dan sukarelawan parti.
Kehadiran petugas kesihatan yang sentiasa komited menjalankan tugas walaupun dalam bulan Ramadan juga wajar dihargai, dan edaran bubur lambuk ini adalah simbol kecil tanda penghargaan terhadap jasa mereka.
Program tersebut turut mendapat sambutan positif daripada kakitangan hospital dan pelawat yang menghargai usaha UMNO Bahagian Putrajaya dalam memeriahkan suasana Ramadan di hospital serta menyantuni komuniti setempat. – UMNOPutrajaya



