Maidatul Rahman Putrajaya Rai UMNOSiswa Semarakkan Ramadan
PUTRAJAYA, 13 Mac – Program Maidatul Rahman Putrajaya terus menjadi medan memperkukuhkan ukhuwah apabila kali ini meraikan kehadiran golongan anak muda dan belia termasuklah UMNOSiswa yang bersama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.
Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kehadiran mahasiswa dan golongan muda dalam program tersebut mencerminkan sokongan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kebersamaan termasuklah kemasyarakatan dan kebajikan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Terima kasih kepada UMNOSiswa dan anak-anak muda yang hadir bersama-sama berbuka puasa di Maidatul Rahman Putrajaya. Kehadiran mereka menambah kemeriahan program ini dan menunjukkan semangat kebersamaan yang amat kita hargai,” katanya.
Jelas beliau, program yang dianjurkan UMNO Putrajaya sejak lebih 20 tahun ini bukan sahaja menjadi tradisi tahunan, malah berperanan sebagai platform menghimpunkan masyarakat serta generasi muda dalam suasana penuh kebersamaan dan semangat kekeluargaan.
Menurut beliau, Maidatul Rahman bukan sekadar program menyediakan juadah berbuka puasa, sebaliknya menjadi ruang penting untuk merapatkan hubungan silaturahim antara masyarakat, pemimpin dan generasi muda.
“Program ini sudah menjadi tradisi setiap Ramadan di Putrajaya. Ia bukan hanya tentang berbuka puasa, tetapi bagaimana kita dapat berkumpul, berkenalan dan mengeratkan hubungan dalam suasana penuh muafakat,” ujarnya lagi.
Kata Tengku Adnan, melalui Maidatul Rahman Putrajaya, masyarakat setempat dan golongan mahasiswa berpeluang berkongsi rezeki serta menghayati nilai kebersamaan yang menjadi teras kepada kehidupan bermasyarakat.
Jelasnya lagi, program itu juga sebagai usaha berterusan untuk menyemarakkan Ramadan di Putrajaya selain menggalakkan penglibatan aktif generasi muda dalam aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat. – UMNOPutrajaya

