Bantuan Aidilfitri RM39,100 Ceriakan 391 Murid Sekitar Putrajaya
PUTRAJAYA – Seramai 391 murid sekolah rendah termasuk pelajar Pendidikan Khas sekitar Putrajaya menerima sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam satu majlis yang berlangsung meriah di pusat membeli-belah Alamanda, Putrajaya.
Majlis Sumbangan Hari Raya Kepada Murid-Murid Kurang Berkemampuan itu menyaksikan para penerima menerima cenderahati serta kad AEONBIG bernilai RM100 untuk membeli-belah bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
Keseluruhan sumbangan berjumlah RM39,100 itu disumbangkan oleh Bank Rakyat, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan AEONBIG, sekali gus diharap dapat menceriakan anak-anak yang terpilih menjelang sambutan perayaan yang bakal tiba beberapa hari lagi.
Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, berkata program itu merupakan usaha berterusan bagi membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Kami berharap sumbangan seperti ini dapat terus ditingkatkan dari tahun ke tahun agar lebih ramai murid dapat menerima manfaat dan merasai kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan termasuk Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti dan Sumber Manusia Yayasan Pelajaran Mara, Lubna Haida Mohd Khirati, Pengarah Urusan AEONBIG, Kenji Fujita, serta Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nadimin Abd Aziz.
Menurutnya, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor korporat sejak tiga tahun lalu telah membantu memastikan program kebajikan seperti ini dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Terima kasih daun keladi kepada para penyumbang. Semoga kerjasama yang terjalin sejak tiga tahun lalu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi kebajikan anak-anak kita,” katanya. – UMNOPutrajaya



