Isu Semasa

“Cuba Menjadi Abang Besar Semula” Persepsi Yang Tersasar

Gambaran kononnya UMNO sedang “mencuba menjadi abang besar semula” adalah satu persepsi yang tersasar daripada realiti sejarah dan fakta politik.

UMNO ini merupakan parti yang lebih awal ditubuhkan dan menjadi tunjang kepada pembinaan asas politik, kestabilan serta sistem demokrasi negara sejak sebelum kemerdekaan lagi. Peranan tersebut bukan soal menjadi “abang besar” tetapi soal memikul tanggungjawab besar dalam menyatukan orang Melayu, membina negara dan memperkasakan bangsa. Sebahagian parti politik yang wujud hari ini lahir daripada serpihan, perbezaan pandangan atau evolusi dalaman UMNO sendiri.

Ini membuktikan kekuatan akar perjuangan UMNO yang menjadi rujukan dan asas kepada landskap politik Melayu. Dalam konteks semasa, UMNO tidak ghairah mengejar gelaran atau dominasi simbolik. Fokus utama adalah memperkukuh perpaduan, memastikan kestabilan politik serta menjamin masa depan bangsa dan negara.

Politik matang menuntut kerjasama dan kebijaksanaan, bukan retorik yang boleh memecah-belahkan. Adalah lebih wajar semua pihak melihat agenda penyatuan dan pembangunan bangsa secara objektif, bukannya menimbulkan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Kita elakkan persepsi negatif tetapi kita fokus dengan agenda yang lebih besar dan memberi nilai tambah kepada anak bangsa pada masa hadapan.

MOHD RAZLAN MOHD RAFII
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.