Berita

Tak Banyak Alasan: UMNO Putrajaya Teruskan Tradisi Singgah Sahur

PUTRAJAYA, 16 Mac – Program Singgah Sahur anjuran UMNO Bahagian Putrajaya yang menjadi tradisi saban tahun pada bulan Ramadan diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa mengira waktu demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Ketua Pemudanya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan, berkata program tersebut merupakan inisiatif berterusan UMNO Putrajaya untuk mendekati serta menghargai pengorbanan anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang tetap menjalankan tugas walaupun pada waktu sahur sepanjang bulan Ramadan.

Menurut beliau, tahun ini rombongan Pemuda UMNO Putrajaya telah mengadakan kunjungan Singgah Sahur ke beberapa lokasi penting termasuk Institut Kanser Negara (IKN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Balai Polis Presint 7 dan Balai Polis Presint 11.

“Program Singgah Sahur ini adalah rutin tahunan kami setiap kali tiba Ramadan. Ia merupakan simbolik penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terus berkhidmat tanpa mengenal penat lelah demi memastikan masyarakat berada dalam keadaan selamat dan terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program tersebut bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO Putrajaya serta para sukarelawan yang turut sama turun padang menyantuni petugas yang bertugas pada waktu malam.

Tambah Dr Tengku Iqbal, program seperti ini juga bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat, pertubuhan politik dan agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Kita amat menghargai dedikasi para doktor, jururawat serta anggota polis yang terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika bertugas. Dengan program kecil seperti ini, sekurang-kurangnya kita dapat menyampaikan sedikit sumbangan dan kata-kata semangat kepada mereka,” ujarnya.

Dalam kunjungan tersebut, Pemuda UMNO Putrajaya turut menyampaikan juadah sahur kepada petugas yang sedang menjalankan tugas di setiap lokasi yang dilawati.

Dr Tengku Iqbal turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat, terutamanya sepanjang bulan Ramadan yang menuntut umat Islam memperbanyakkan amalan kebajikan.

“Kita tak perlu banyak alasan untuk turun padang apatah lagi Ramadan adalah bulan yang mengajar kita tentang pengorbanan, kesabaran dan keprihatinan terhadap orang lain. Program ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyemai nilai tersebut dalam masyarakat,” katanya lagi.

Program Singgah Sahur Pemuda UMNO Putrajaya itu turut mendapat sambutan baik daripada petugas yang bertugas di lokasi berkenaan, yang menyifatkan kehadiran rombongan tersebut sebagai tanda sokongan moral yang amat bermakna buat mereka. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.