Persidangan Cawangan UMNOBermula, Fokus Perkukuh Perpaduan Parti – Tengku Adnan
PUTRAJAYA, 1 April – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru seluruh ahli parti agar menjadikan persidangan tahun ini sebagai medan memperkukuh perpaduan dan memperkasa perjuangan parti.
Beliau berkata, persidangan yang bakal berlangsung dalam tempoh beberapa bulan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merangka hala tuju yang lebih jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Semoga persidangan kali ini menjadi platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan, memperkasa perjuangan dan merangka hala tuju yang lebih gemilang demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Menurut beliau, ini merupakan masa terbaik untuk seluruh ahli parti bangkit dan bergerak seiring sebagai satu pasukan yang lebih kuat.
“Inilah masa untuk bangkit, bersatu dan melangkah ke hadapan dengan lebih yakin,” tambahnya.
Ujarnya lagi, persidangan perlu dilihat sebagai medan penting bagi ahli-ahli UMNO di seluruh negara untuk membincangkan isu semasa, memperkukuh organisasi serta menentukan hala tuju parti menjelang cabaran politik akan datang.
Persidangan UMNO Cawangan dijadualkan berlangsung bermula 1 April hingga 17 Mei 2026, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan diadakan dari 1 Jun hingga 12 Julai 2026. – UMNO Online

