UMNO Putrajaya Tekankan Pendekatan Dekati Pengundi Muda Menjelang PRU16
PUTRAJAYA, 6 April – UMNO Bahagian Putrajaya menegaskan pentingnya memperkukuh gerak kerja akar umbi dengan memberi fokus utama kepada usaha mendekati pengundi muda yang bakal menjadi penentu kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain memastikan mereka menjadi penerus perjuangan parti pada masa hadapan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, kekuatan parti tidak boleh hanya bergantung kepada semangat, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui gerak kerja yang lebih tersusun di semua peringkat cawangan.
“Untuk menang dalam PRU16, kita tidak boleh hanya dengan laungan semangat ‘Hidup UMNO, Hidup BN’ semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang tersusun. Yang paling penting sekarang adalah mendekati pengundi muda yang bakal menjadi penentu kemenangan serta penerus perjuangan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat Cawangan yang sedang rakcak berlangsung bermula 1 April lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan tahniah kepada beberapa Ketua Cawangan (KC) yang berjaya melaksanakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan masing-masing, antaranya Cawangan Bunga Meranti, Cawangan Bunga Raya, Cawangan Bunga Iris dan Cawangan Bunga Mawar, selain penyertaan aktif sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
Beliau berkata, peningkatan penyertaan golongan muda dalam persidangan di cawangan-cawangan tersebut jelas menunjukkan perkembangan positif serta keyakinan berterusan terhadap UMNO.
“Ini membuktikan anak muda masih yakin dengan parti UMNO dan bersedia menjadi penerus perjuangan parti dalam memperjuangkan isu-isu mereka,” ujarnya.
Persidangan UMNO Cawangan dijadualkan berlangsung bermula 1 April hingga 17 Mei 2026, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan diadakan dari 1 Jun hingga 12 Julai 2026. Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online



