Isu Semasa

Kenyataan Tun Dr Mahathir Naratif Lama

1. Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak pernah berhenti menyalahkan UMNO sebagai punca perpecahan orang Melayu hanyalah pengulangan naratif lama dalam usaha mengalih perhatian daripada hakikat sebenar.

2. Realitinya, setiap episod besar perpecahan politik Melayu dalam sejarah moden tidak boleh dipisahkan tanpa penglibatan dan tindakan beliau sendiri. Mengugut kepimpinan parti, merajuk hanya kerana parti tidak mengikut ‘telunjuk’nya kemudian umum keluar parti, menubuhkan parti baharu dan mencetuskan pertembungan sesama sendiri. Itu bukan lagi persepsi tetapi fakta politik yang tidak akan dilupakan terutama ahli-ahli UMNO.

3. Lebih menarik, beliau pernah menerajui UMNO selama lebih dua dekad. Maka persoalannya mudah; jika hari ini UMNO dikatakan rosak, siapa yang membentuk asas budaya, struktur dan acuan kepimpinan parti sepanjang tempoh tersebut?

4. Kekuatan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu bukan berdiri atas kehebatan individu semata-mata tetapi lahir daripada dukungan akar umbi dan sokongan padu orang Melayu yang mengangkat dan mengekalkan beliau ke puncak kuasa, bukan parti lawan ketika itu.

5. Tetapi hari ini, platform yang sama cuba digambarkan sebagai punca segala kelemahan.

6. Jika benar niatnya untuk menyatukan orang Melayu, tindakan menubuhkan parti baharu yang secara langsung bersaing dengan UMNO adalah satu kontradiksi yang sukar dipertahankan. Alasan ‘alternatif’ tidak boleh menutup realiti bahawa langkah itu telah memecahkan sokongan Melayu kepada beberapa blok yang saling bertembung.

7. Lebih ironi, beliau sendiri mengakui usaha menjadikan Bersatu sebagai pengganti UMNO telah pun gagal. Namun dalam masa yang sama, beban perpecahan terus dilemparkan kepada pihak lain, seolah-olah beliau tidak pernah menjadi sebahagian daripada punca itu sendiri.

8. Harus diingat bahawasanya UMNO bukan milik individu. UMNO milik orang Melayu kerana parti ini warisan perjuangan orang Melayu. Bermula dari penentangan terhadap Malayan Union, membina kekuatan negara, pengukuhan ekonomi dan memperkasa pendidikan anak bangsa Melayu melalui pewujudan ITM; membuka peluang perniagaan melalui MARA, membuka tanah rancangan FELDA sehinggalah ke arah memperkukuh institusi yang menjaga kepentingan bangsa dan agama seperti Tabung Haji dan lain-lain.

9. Menyalahkan ahli-ahli yang kekal setia dalam UMNO sebagai punca perpecahan hanya kerana mereka tidak mengikut telunjuk beliau adalah satu hujah yang bukan sahaja dangkal, malah mencerminkan sikap yang sukar menerima realiti demokrasi.

10. Dalam politik, perbezaan pandangan itu perkara biasa. Tapi apabila kesetiaan dilihat sebagai satu kesalahan hanya kerana tidak memihak kepada individu tertentu, itu bukan lagi prinsip, itu ego yang gagal dikawal.

11. Lebih kronik lagi, pihak yang selama ini melaungkan demokrasi dan kebebasan memilih, kini seolah-olah hanya mengiktiraf demokrasi jika keputusan memihak kepada dirinya. Kalau tidak, terus dilabel sebagai punca perpecahan.

12. Persoalannya, adakah ini perjuangan untuk rakyat atau sekadar perjuangan untuk memastikan semua orang bersetuju tanpa soal?

13. Kalau kesetiaan dianggap dosa, maka mungkin yang bermasalah bukan ahli tetapi definisi demokrasi itu sendiri yang sudah diputar belit mengikut selera.

DATUK MOHD RAZLAN RAFII
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.