Persidangan Cawangan Untuk Raih Kembali Ahli ke Rumah Bangsa – Tengku Adnan
PUTRAJAYA, 13 April – Persidangan di peringkat cawangan UMNO dilihat sebagai platform penting dalam usaha meraih kembali ahli dan penyokong untuk kembali berhimpun di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, persidangan cawangan bukan sekadar memenuhi keperluan organisasi, tetapi perlu dimanfaatkan sebagai ruang memperkukuh semangat penyatuan dalam kalangan ahli dan menyahut seruan Presiden dengan memanfaatkan Rumah Bangsa.
“Persidangan cawangan adalah medan terbaik untuk kita mendekati semula ahli yang mungkin telah menjauh. Inilah masanya kita ajak mereka kembali ke Rumah Bangsa,” katanya.
Menurut beliau, UMNO perlu kembali memainkan peranan sebagai sebuah “rumah” yang menyatukan semua lapisan ahli tanpa mengira perbezaan pandangan sebelum ini.
“Kita tidak boleh terus berpecah. Rumah Bangsa ini adalah simbol bahawa UMNO terbuka untuk semua kembali, memperbaiki hubungan dan bergerak ke hadapan bersama tanpa syarat atas semangat satu keluarga besar demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Terdahulu beliau telah merasmikan persidangan cawangannya sendiri iaitu Cawangan Bunga Matahari dengan penekanan agar anggota parti bangkit dan terus memperkukuh parti bermula dari sokongan akar umbi.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan parti bergantung kepada keaktifan di peringkat cawangan, yang menjadi nadi utama dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat.
“Jika cawangan kuat, parti akan kuat. Cawangan mesti jadi tempat rakyat datang mengadu, mendapatkan bantuan dan melihat UMNO sebagai pembela mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menganggap bahawa pendekatan Rumah Bangsa juga mampu menarik semula minat golongan muda untuk mendekati parti, selaras dengan keperluan memperkukuh generasi pelapis.
“Kita mahu anak muda lihat UMNO sebagai wadah masa depan mereka, bukan sekadar parti lama malah banyak pembaharuan telah dilaksana dari semasa ke semasa. Kerana itulah, persidangan cawangan lebih terbuka dan inklusif kepada semua,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan pengalaman dan asas kukuh sejak penubuhannya pada tahun 1946, UMNO mempunyai kelebihan untuk bangkit semula dengan pendekatan lebih segar dan relevan.
“Persidangan cawangan di seluruh negara kini dilihat memainkan peranan penting dalam menggerakkan semula jentera akar umbi, sekali gus memastikan gagasan Rumah Bangsa dapat direalisasikan sebagai simbol penyatuan dan kekuatan parti.
“Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO menjadi fokus utama sekali gus mencerminkan kekuatan sebenar parti di peringkat akar umbi.
“Kekuatan UMNO tidak hanya bergantung kepada struktur organisasi, tetapi lebih kepada keikhlasan dan kesungguhan ahli-ahlinya dalam memperjuangkan parti.
“Semangat kebersamaan ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia menjadi tunjang kepada kekuatan parti. Apabila kita bersatu, kita lebih kuat dan mampu menghadapi apa jua cabaran,” ujarnya.
Persidangan UMNO Cawangan bagi tahun 2026 telah berlangsung bermula 1 April dan akan berakhir pada 17 Mei, menjadi medan awal memperkukuh akar umbi parti di seluruh negara.
Seterusnya, momentum ini diteruskan dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan berlangsung dari 1 Jun hingga 12 Julai, menghimpunkan kepimpinan di peringkat bahagian untuk membincangkan hala tuju dan strategi parti.
Kemuncaknya, Perhimpunan Agung UMNO 2026 akan diadakan pada 12 hingga 16 Ogos, yang akan mengangkat usul-usul bagi terus mencorakkan masa depan parti. – UMNO Online




