BeritaRencana

Santai Bersama Pemuda UMNO Putrajaya Demi Perkukuh Hala Tuju Parti

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meluangkan masa dalam Program Santai Bersama Pemuda UMNO Putrajaya, malam tadi yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh pengisian.

Program tersebut telah diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya dengan diisi perkongsian pendapat dan bertukar-tukar pandangan berkaitan situasi semasa khususnya perkembangan politik tempatan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya melahirkan keyakinan dengan anak-anak muda tempatan untuk meneruskan aspirasi parti dalam perjuangan berlandaskan kepada hala tuju yang telah digariskan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Kita mahu pastikan anak-anak muda mendapat maklumat yang tepat dan memahami situasi politik hari ini khusunya berkaitan dengan perkembangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas termaktubnya Muafakat Nasional,” katanya.

“Muafakat Nasional adalah matlamat khusus yang didukung oleh anggota parti termasuklah anak muda kerana mereka adalah teras kepada kepimpinan masa hadapan. Untuk itu usaha berterusan perlu dimantapkan demi perjuangan ikhlas untuk agama, bangsa dan negara ini,” katanya lagi..

Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha UMNO Bahagian, Datuk Shokri Shafee di samping barisan Pemuda UMNO Putrajaya termasuklah Naib Ketuanya, Mohd Zushaidey bin Zulkifli. – UMNOPutrajaya