Berita

Mahkamah Rayuan Benar Permohonan Ku Nan Agar Hakim Tarik Diri

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini agar Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan Tengku Adnan untuk mengetepikan keputusan Hakim Mohd Nazlan yang enggan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.

Hakim Yaacob, yang mengetuai panel itu memutuskan rayuan itu mempunyai merit  dan mewajarkan campur tangan mahkamah.

Beliau membenarkan rayuan itu agar Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan Tengku Adnan dan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain. 

Dalam keputusan yg dibacakan, Hakim Mahkamah Rayuan memaklumkan seakan telah wujud pelanggaran prosedur mahkamah tinggi dibawah seksyen 172(c) oleh pihak pendakwaan serta menimbulkan persepsi yang mencurigakan terhadap pengakuan bersalah tan Eng Boon di hadapan Hakim Tuan Nazlan. Secara tidak langsung ianya telah menimbulkan persepsi Mala Fide (bad impression) pengakuan bersalah kes rasuah yang dibuat oleh Tan Eng Boon terhadap Datuk Seri Tengku Adnan sebelum ini.

Beliau berkata hakim baharu akan akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan semula kes itu atau meneruskan perbicaraan itu daripada Hakim Mohd Nazlan.  

Setakat ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Hakim Yaacob menetapkan 18 Feb untuk sebutan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Ia juga merupakan tarikh sepatutnya perbicaraan didengar semula.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 Sept tahun lepas yang menolak permohonan (Tengku Adnan) supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan). – UMNOPutrajaya