Kibarkan Bendera UMNO Sempena Ulang Tahun Parti, Hayati Perjuangannya

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyarankan kepada ahli-ahli  parti di sini untuk meraikan ulang tahun penubuhan UMNO,  11 Mei ini dengan mengibarkan bendera UMNO, ‘Sang Saka Bangsa’ di rumah masing-masing.

Katanya, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa ekoran COVID-19, ahli-ahli UMNO juga disaran agar mematuhi arahan dan tidak berkumpul beramai-ramai.

“11 Mei ini adalah hari ulang tahun penubuhan UMNO…  oleh kerana PKP masih dikuatkuasakan  maka tidak ada sebarang majlis perjumpaan, jamuan ataupun acara keagamaan.

“Saya juga menyarankan agar semua  ketua-ketua cawangan bersama ahli-ahli parti untuk mengibarkan bendera UMNO di cawangan masing-masing sebagai tanda mengingati hari tertubuhnya sebuah pertubuhan siasah demi satu perjuangan kelangsungan agama, bangsa dan negara.”

Dalam masa yang sama, beliau juga mengajak ahli-ahli UMNO untuk menghayati penubuhan UMNO yang terbina atas bukan dari perasaan marah, benci, dendam, kecewa  tetapi ia lahir dari semangat penyatuan orang Melayu/Islam  untuk menyelamatkan negara dan menyatukan orang Melayu dengan satu matlamat iaitu kembalikan maruah bangsa dan agama.

“Usia UMNO 74 tahun dan UMNO telah lalui pelbagai dugaan, dari perjuangan menyatukan orang-orang Melayu, membangkitkan semangat nasionalisme, mempelopori kemerdekaan, membawa pembangunan, kemajuan, dan tetap bersikap matang biarpun bergelar pembangkang selama 22 bulan, dan kini atas kuasa Allah SWT UMNO jadi sebahagian dari kerajaan.

“Hargailah kewujudan UMNO, terlalu banyak jasanya kepada kita, kibarkanlah ‘Sang Saka Bangsa’,” katanya lagi. – UMNO Putrajaya

Artikel disiar pada May 8, 2020 - 3:37 pm oleh admin



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.