Demi suara rakyat, Pemuda UMNO Putrajaya Tuntut Pengecualian Bayaran Sewaan

PUTRAJAYA, 8 Mei –  Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya hari ini bersama-sama dengan para peniaga dan penyewa medan selera di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya ingin menuntut pengecualian bayaran sewaan kedai dan kiosk yang dikenakan kepada mereka oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tempoh 6 bulan ekoran Pandemik COVID 19 yang sedang melanda negara.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Mohd Zushaidey Zulkifli berkata, tuntutan ini dilakukan setelah pihak berkuasa tempatan PPj hanya bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewaan sahaja iaitu untuk bulan Mac dan April 2020.

“Ini amat jelas sekali bercanggah dengan kenyataan yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac 2020 iaitu ‘kerajaan jua bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan sepert kantin sekolah, taska, cafeteria, kedai serbaneka dan  lain-lain.  Ini termasuklah semua premis milik agensi dan Badan Berkanun Kerajaan Persekutuan.  Saya juga  menggesa agar Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan GLC memberikan pengecualian yang sama’,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu tegasnya, tuntutan ini perlu dipandang serius oleh PPj berdasarkan Inisiatif Wilayah Cakna yang telah diumumkan oleh YB Tan Sri Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan baru-baru ini iaitu:  pengecualian enam bulan bayaran sewa perumahan awam (PA) / Projek Perumahan Rakyat (PPR)  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).  Pengecualian bayaran sewa ini meliputi semua unit rumah / kedai / gerai di PA / PPR DBKL, Kompleks Belia & Beliawanis dan perumahan bandar mulai bulan Mac hingga Ogos 2020.  Kaedah pengecualian sewa adalah secara automatik. 

“Justeru itu, pihak Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya hari ini ingin membawa suara para peniaga yang terlibat untuk didengar dan dipertimbangkan serta diambil tindakan yang sewajarnya oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui agensi PPj atas perkara ini ekoran pandemik COVID19 yang memberi kesan kepada perniagaan serta pendapatan mereka. 

“Sehingga ke hari ini, pendapatan mereka masih terjejas dan nasib perniagaan mereka masih tidak diketahui,” ujarnya lagi. – UMNOPutrajaya

Artikel disiar pada May 8, 2020 - 3:08 pm oleh admin



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.