Berita

Mesyuarat Bahagian Fokus Usaha Tambah Ahli & Pengundi

PUTRAJAYA – Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kelmarin memberikan tumpuan besar kepada usaha-usaha pertambahan ahli dan bilangan pendaftaran pengundi.

Mesyuarat yang dihadiri hampir keseluruhan AJK, turut menggariskan beberapa langkah pengukuhan dan pemantapan UMNO di Putrajaya termasuk pendedahan di kalangan ahli muda khususnya Pemuda dan Puteri.

Datuk Seri Tengku Adnan memberitahu setiap cawangan telah diminta untuk melipatgandakan usaha pertambahan ahli. “Pastikan juga ahli-ahli baru ini turut mendaftar sebagai pengundi. Ini kerana pihak pembangkang begitu agresif memikat orang ramai mendaftar sebagai pengundi termasuk menjadi ahli mereka.,” katanya.

Menurut beliau Pegawai Pendaftar Pengundi yang dilantik mewakili  UMNO Putrajaya perlu agresif menarik pengundi baru dan mengesan ahli UMNO yang belum mendaftar. Bilangan pengundi di kalangan ahli UMNO kini bertambah sehingga mencecah hampir 4,000 orang dan pendaftar pengundi lebih 7,000 orang.