Berita

Tolak Pembangkang Guna Taktik Kotor Pengaruhi Pengundi

PUTRAJAYA – Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar sikap pembangkang yang menggunakan pelbagai taktik sebagai cubaan untuk mempengaruhi masyarakat khususnya untuk bertapak di kawasan tersebut.

Katanya, beliau mendapat maklumat dari penduduk tempatan khususnya ketua-ketua cawangan bahawa pembangkang khususnya Pas telah menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki komuniti tempatan di sini.

“Biarpun kedatangan mereka telah ditolak tetapi mereka berdegil dan tetap meneruskan aktiviti sedemikian untuk kepentingan politik mereka,” katanya yang memberitahu bahawa laporan polis telah pun dilakukan berkaitan hal terbabit.

Tengku Adnan berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bahagiannya bersama dengan 31 anggota cawangan di sini.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau turut mendapatkan maklumbalas berkenaan data-data terkini yang telah diberikan kepada mereka di samping analisa terkini membabitkan pengundi-pengundi baru di kawasan terbabit.

Antara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah berkaitan kursus Biro Latihan UMNO yang akan membabitkan pemimpin-pemimpin empat peringkat iaitu ketua cawangan, ketua pergerakan wanita, pemuda dan puteri pada 25 Februari depan.

“Kita berharap dengan kursus tersebut akan memantapkan lagi bahgian ini dan diminta agar semua yang terlibat dalam kursus tersebut akan dapat menghadirkan diri serta menggunakan kesempatan yang ada sebagai satu alternatif yang bermanfaat demi agama, bangsa dan negara,” katanya.