Ucapan

Aplikasikan Kursus Pemantapan Transformasi Organisasi Untuk Parti

Assalamualakum W.B.T, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Setiap apa yang mahu dilaksanakan perlu dilakukan dengan perancangan rapi agar pelaksanaannya mencapai kualiti yang diharapkan. Justeru, berdasarkan hasrat untuk memastikan UMNO di Putrajaya terus segar malar, maka kursus Pemantapan Transformasi Organisasi wajarlah dijadikan sebagai satu landasan untuk merealitikan perjuangan demi wadah agama, bangsa dan negara.

Saya amat berharap dengan berlangsungnya kursus yang akan bermula 25-27 Februari ini di Jeram, Selangor maka semua anggota cawangan yang melibatkan 33 orang ketua-ketua cawangan bersama 25 orang bagi setia ketua pergerakan wanita, pemuda dan puteri cawangan dapat menghadirkan diri tanpa sebarang keuzuran.

Dalam kursus tersebut, Naib Ketua Bahagian Tuan Haji Nordin Hassan akan menjadi Penghulu yang akan memastikan seramai 100 anggota terbabit memperoleh input-input terbaik selain memastikan kebajikan dan perjalanan kursus berlangsung lancar.

Anggota-anggota kursus ini adalah pemimpin yang akan memastikan Bahagian UMNO Putrajaya terus aktif dan mantap apatah lagi bahagian ini adalah antara bahagian yang baru diwujudkan iaitu tidak sampai 10 tahun usianya.

Tentunya pengisian dalam kurus tersebut akan dapat menambahkan pengetahuan selain mencambahkan idea-idea baru untuk diaplikasikan dalam setiap cawangan yang ada. Lantaran itu, saya menyeru peserta-peserta kursus agar dapat bermesyuarat dalam cawangan masing-masing dan memberikan maklumbalas berkaitan ilmu-ilmu baru khususnya kepada ahli-ahli jawatankuasanya dan masyarakat tempatan.

Sesungguhnya ini adalah peluang kepada rakyat untuk mengenali perjuangan UMNO yang sebenar tanpa ada sifat prajudis, hipokrit atau ada agenda tersendiri. Apa yang penting ialah menyelami matlamat perjuangan UMNO mengikut Perlembagaan parti seperti yang telah diwariskan oleh para pejuang terdahulu sebagai pusaka kepada generasi seterusnya pula.

Lebih dari itu, saya amat berharap agar para peserta dapat menjadikan kursus ini sebagai kesempatan buat mereka untuk memperbaiki diri melalui pendedahan dan pengalaman yang dikongsi bersama bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam memperkasa bangsa dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan

Selamat Berkursus.