Ucapan

Tengku Adnan Terharu Dan Hargai Semua Pihak Yang Prihatin Terhadapnya dan Keluarga

KUALA LUMPUR, 9 Mei –Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan jutaan terima kasih dan menghargai semua pihak yang amat prihatin atas bencana yang menimpa beliau dan keluarganya.

Awal pagi semalam, kediaman Tengku Adnan yang terletak di Lorong 5, Taman Duta terbakar dalam insiden yang dipercayai akibat sebuah pendingin hawa ketika beliau dan keluarganya sedang tidur di kediaman empat tingkat miliknya.

“Saya amat berterima kasih dan terharu dengan sikap mengambil berat yang telah diberikan oleh semua pihak dari pemimpin atasan dan kawan-kawan di semua peringkat terhadap apa yang telah menimpa saya sekeluarga semalam,” jelasnya.

Ujarnya, beliau redha atas apa yang berlaku dan bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini atau melibatkan kemalangan jiwa dan sebarang kecederaan.

“Saya redha dan bersyukur kepada Allah SWT dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku; sebagai mahluk Allah SWT yang lemah ini kita hanya boleh berserah kepada-Nya.”

Ekoran dari insiden tersebut, para pemimpin tempatan telah datang dan berkunjung melawat rumah beliau termasuklah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; TYT Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob bersama isteri, Naib-naib Presiden UMNO, Ketua-ketua Bahagian dan cawangan UMNO khususnya dari Bahagian Putrajaya.

Turut sama melahirkan rasa simpati ialah Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghubungi beliau melalui telefon dari Jakarta berikutan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-18 di sana.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang berada di luar negara kerana sedang menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah di Copenhagen, Denmark juga menghubungi beliau dan turut berkongsi rasa simpati.

Kebakaran tersebut mengakibatkan kediamannya di tingkat empat musnah teruk serta beberapa bahagian lain juga turut terjejas.