Berita

Perutusan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Sempena 65 Tahun UMNO

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah dan kurnia-Nya maka hari ini UMNO kekal teguh dalam usianya 65 tahun dan terus menjadi tunjang dalam kepimpinan negara dengan lakaran gemilang sepanjang usia kemerdekaan.

Sesungguhnya, kelahiran UMNO adalah aspirasi dari suara rakyat yang mahukan semua anggota dan bangsa Melayu melangkah seiring dalam gerak sederap bagi memastikan kedaulatan agama, bangsa dan negara terus diperjuangkan.

UMNO bukan parti jalanan atau lahir atas kepentingan pihak tertentu sebaliknya ia adalah gambaran keseluruhan revivalisme Melayu yang enggan alah dan tunduk terhadap pihak lain atau mana-mana anasir yang cuba memecahbelahkan kesatuan bangsa Melayu.

Justeru, setiap individu khususnya ahli-ahli UMNO bukan sahaja perlu mewujudkan retrospeksi masa lalu tetapi apa yang lebih penting adalah menyelami intipati dan asas perjuangan parti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

Kita mesti sentiasa beringat bahawa asas dan tujuan penubuhan UMNO ini adalah teras utama kepada bangsa Melayu kerana UMNO adalah parti siasah yang mendukung perjuangan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Selaras dengan perkembangan semasa, UMNO terus berkembang dan mengikuti perubahan zaman sebagaimana generasi yang silih berganti maka para pemimpinnya datang bertukar ganti yang kesemuanya telah mencorakkan masa hadapan unggul untuk rakyat keseluruhan.

Dalam usia 65 tahun, UMNO telah diuji dengan cabaran, gelombang dan badai yang membuktikan bahawa parti ini teguh berdepan dengan pelbagai permasalahan dan krisis sama ada dari luar atau dari dalam ahli-ahlinya sendiri. Para pemimpinnya tidak pernah latah apatah lagi ahli-ahlinya yang sentiasa bersikap matang dan rasional dalam memastikan bahawa perjuangannya parti tersebut akan tetap dominan sepanjang zaman.

Realiti hari ini, UMNO perlu terus diperkukuh dengan memperkemaskan gerak kerja dan memantapkan usaha ke arah terus memastikan kesinambungan perjuangan berterusan dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.