DAP Jangan Cuba Perbodohkan Orang Melayu – Tengku Adnan
Bangsa Melayu bukan alat permainan dalam politik sehinggakan boleh diperkotak-katikkan sesuka hati termasuklah untuk memancing undi dan mendapatkan kuasa dari tangan rakyat, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, tindakan DAP yang merancang untuk meletakkan calon-calon Melayu mewakili parti mereka pada pilihan raya umum akan datang menunjukkan kedangkalan mereka dalam menilai kedudukan masyarakat hari ini.
“Siapa DAP yang mahu memperbodohkan orang Melayu sewenang-wenangnya sedangkan secara realitinya rakyat tahu dan sedar bahawa DAP hanyalah topeng yang melakonkan sandiwara untuk mendapatkan kuasa secara total,” katanya kepada UMNO-Online.
Terang beliau, apa yang direncanakan oleh DAP menjadi bukti bagaimana penilaian mereka kepada orang-orang Melayu yang dianggap sebagai batu loncatan mereka untuk meraih kedudukan dan mendapatkan kuasa semata-mata.
“Inilah DAP yang tidak tahu menghargai apatah lagi untuk menghormati kebersamaan dan peranan yang dimainkan oleh semua kaum di negara ini malahan sebaliknya mereka berbuat baik dengan orang-orang Melayu kerana ada agenda tersembunyi.
“DAP ini parti yang tidak ada hala tuju dan mereka akan gunakan apa sahaja cara asalkan dapat mencapai matlamat mereka untuk mendapatkan kuasa.”
Jelasnya lagi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), DAP setuju untuk bersekongkol dalam pakatan pembangkang bersama-sama Pas dan PKR sebelum ini kerana mereka mahu mempergunakan dua parti tersebut sebagai alat bagi mendapatkan kuasa juga.
“Lihatlah sendiri bagaimana tindakan DAP yang mengaut untung daripada perseteruan tersebut sedangkan Pas semakin tenggelam dan PKR pula kucar-kacir. DAP mengukuhkan kuasa tanpa melihat keseimbangan dalam pakatan itu sendiri dan akhirnya tidak hairan jika mereka sendiri yang akan ‘membunuh’ PKR dan memusnahkan Pas,” katanya.
Tegas beliau secara logiknya, DAP tidak akan mengiktiraf orang Melayu sebagaimana idealogi mereka yang mahukan Malaysian Malaysia lantas mana mungkin untuk meletakkan orang Melayu di tempat yang tinggi kecuali mereka ada agenda tersembunyi seperti yang telah terbongkar sekarang.
Katanya lagi, DAP mahukan orang Melayu hanya menjadi ‘pak turut’ yang boleh dicucuk hidung, suruh angguk-angguk dan suruh geleng-geleng sebagaimana yang telah berlaku dalam Kerajaan Perak semasa ditangan pembangkang dan juga di Selangor.
“Lihatlah bagaimana DAP yang tidak pernah menyuarakan sesuatu yang boleh membantu masyarakat kerana mereka tidak mahu rakyat berada dalam keadaan tenteram sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana mereka mahukan kekacauan dan kemudiannya mengguk di air keruh untuk mendapat kuasa,” katanya.
Bidasnya lagi, memang telah nyata bahawa dari awal lagi, DAP sering sahaja menafikan kebenaran dan hakikat yang dihadapi dengan memperlekeh orang lain khususnya bangsa Melayu sebagaimana tindakan mereka mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan menganggap bahawa mereka sahaja yang benar.
Katanya, rakyat perlu sedar dan menilai sendiri bagaimana tingkah DAP yang telah menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat biarpun mereka terpaksa meniru langkah BN dan UMNO sendiri.
“Tujuan DAP adalah untuk menimbulkan kekeliruan pada rakyat, menjadikan rakyat khususnya masyarakat kita yang pelbagai bangsa rasa tercabar dan marah, berlaku prasangka antara kaum dan seterusnya keamanan negara tidak terjamin tetapi ia gagal jadi mereka terpaksa merencanakan alternatif lain iaitu dengan menjadikan orang Melayu pula calon dalam parti mereka.
“Yang sedia ada pun runtuh dan yang bukan-bukan pula direncananya sedangkan untuk menjadikan sebuah negara maju seperti hari ini bukanlah dengan sekelip mata sebagaimana yang cuba dijampi pakatan campuran.”
Katanya janganlah biarkan tingkah sumbang pembangkang yang ibaratnya tikus membaiki labu melata tumbuh mengaburi rakyat.