Berita

Guru-guru Diseru Bersama Perkukuh UMNO Untuk Jayakan Agenda Negara

PUTRAJAYA – Pegawai Kerajaan Gred A termasuk golongan guru yang berkelayakan diseru bersama-sama memperkukuhkan UMNO untuk kesinambungan pembangunan dan transformasi dilaksana sepenuhnya.

Saranan ini disampaikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyarankan agar warga pendidik menyambut baik tindakan kerajaan membenarkan mereka untuk bergiat aktif dalam bidang politik.

“Ini adalah satu peluang kepada warga pendidik untuk bersama-sama merealisasikan impian kerajaan membawa transformasi pendidikan dalam mencorakkan masa hadapan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Guru 2011, Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangasaan Presint 18(1), 25 Mei lalu.

Dalam majlis ini juga, beliau mengambil kesempatan untuk mengucap ribuan terima kasih dan tahniah kepada guru-guru dalam usaha mereka mendidik para pelajar sehingga semua sekolah-sekolah di Putrajaya telah mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Terbaik di Wilayah Persekutuan dalam Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2010.

“Guru-guru menjalankan usaha dalam memastikan anak-anak murid ini mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui keputusan peperiksaan yang cemerlang selain memberikan tunjuk ajar berkaitan program-program yang akan dipelajari akan datang,” jelasnya.

Beliau juga telah memberi cenderahati kepada kesemua guru guru di sekolah Putrajaya.

Turut mengiringi beliau dalam majlis tersebut ialah Datin Seri Utama Anggraini Sentiyaki.