Ucapan

Jangan Jadi Komunis Moden

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

Anggota pakatan pembangkang bersikap ibarat komunis moden dengan hasrat untuk menghancurkan negara biarpun selama ini turut menikmati kesejahteraan dan mendapat kesenangan hasil pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Seharusnya setiap warga Malaysia tahu menghargai nilai yang telah dikecapi biarpun berada dalam fahaman politik berbeza dan tidak terlibat dengan agenda politik melampau yang boleh membahayakan keselamatan negara.

Kita mahukan rakyat yang ada rasa cinta dan sayang pada negara, sama-sama menyemai keamanan dengan semangat nasionalisme apatah lagi nama Malaysia dikagumi malah menjadi negara contoh di persada antarabangsa.

Sesungguhnya tindakan seperti mempolitikkan hal-hal remeh termasuk SPR dan kemudiannya cuba mempertikai institusi Diraja, mewujudkan satu lagi perlembagaan baru, mempertikaikan hak keistimewaan Melayu, menggunakan masjid dan surau sebagai tempat ceramah adalah antara perkara-perkara yang tidak sewajarnya berlaku dan menunjukkan kedangkalan berpolitik tanpa kematangan pakatan pembangkang.

Inilah tingkah pakatan pembangkang yang membuktikan bahawa mereka sanggup melanggar batasan dan landasan yang ada asal saja matlamat mereka untuk mendapat kuasa tercapai biarpun negara huru-hara dan rakyat diperdagangkan.

Perlu diingat bahawa perpaduan adalah agenda negara dan bukan hanya matlamat terpencil untuk tujuan bagi memenangi pilihan raya seperti mana yang dibuat oleh pakatan pembangkang sebaliknya langkah kerajaan untuk menjayakan perpaduan di kalangan keseluruhan rakyat adalah satu matlamat berterusan dan menyokong setiap agenda yang memberikan kepentingan bersama.

1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan