Apa Untungnya Demonstrasi?
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pakatan pembangkang yang bertopengkan NGO semakin sibuk dengan agenda mereka termasuk menyuarakan pelbagai kenyataan yang berbentuk provokasi bagi memperalatkan rakyat agar turut berhimpunan bersama-sama mereka atas alasan kononnya untuk pilihan raya yang adil dan BERSIH (Bersih).
Biarpun pelbagai pihak telah menyuarakan implikasi demonstrasi jalanan termasuklah pihak berkuasa yang turut memberi amaran keras agar membatalkan hasrat untuk mengadakan perhimpunan dan memberi amaran kepada sesiapa yang terlibat kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Penganjuran demonstarsi Bersih dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenevasan sementara Timbalannya ialah Timbalan Presiden Pas Mohamed Sabu dengan tujuan yang boleh diselesaikan di meja rundingan tanpa perlu demonstrasi dilakukan apatah lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan.
Namun demikian, apa jua alasan yang mahu digunapakai oleh pembangkang yang bertopengkan NGO untuk mengadakan perhimpunan jalanan sebagaimana yang pernah dilakukan beberapa tahun lalu sama ada untuk mansuhkan ISA, atas nama suara demokrasi atau sekarang atas alasan bagi mendesak dilakukan pilihan raya yang adil tetapi sebenarnya ia adalah sandiwara semata-mata.
Dalam hal ini, ternyata bahawa pakatan pembangkang yang lantang melaungkan suara demokrasi enggan mengikut saluran undang-undang walaupun telah jelas bahawa wujud saluran yang lebih mudah dan tidak mengundang keresahan kepada masyarakat.
Lantas, mengapa demonstrasi jalanan dijadikan pilihan?
Walaupun demonstrasi secara relatifnya dari segi demokrasi adalah tidak salah tetapi perlu dilihat impaknya ke atas masyarakat yang mencakupi pelbagai aspek bukan sahaja dari segi sosial tetapi ia secara tidak langsung dari sudut ekonomi dan penilaian negara di pentas antarabangsa.
Apatah lagi, jika dilihat, demonstrasi yang berlangsung tersebut adalah suara segelintir individu yang berbaurkan agenda politik peribadi ekoran gagal mendapat kuasa, angkuh dengan nikmat yang ada dan mahukan kedudukan melalui cara mudah iaitu mengambil kesempatan melalui kesempitan orang lain.
Jika difikirkan, mengapa demonstrasi jalanan yang tentunya akan mewujudkan keresahan dan kegelisahan dilakukan atau barangkali benar andaian bahawa ada pihak yang sengaja mahukan huru-hara dan kekacauan diwujudkan lantas menangguk di air keruh demi untuk kepentingan tertentu.
Sewajarnya, mengapa tidak difikirkan kelangsungan kesan terhadap individu dan masyarakat sekeliling.
Dalam hal tersebut, tidak cukupkah sejarah mengajar kita untuk dijadikan sebagai teladan. Bagaimana peristiwa 13 Mei 1969 merobek perpaduan ekoran dari demonstrasi.
Begitu juga dengan kononnya gerakan reformasi melalui demostrasi jalanan pada tahun 1998 dan 1999 yang hampir-hampir memusnahkan Ibu Kota dan ekonomi negara kita.
Sesungguhnya, biar apapun yang mahu dilakukan, fikirkanlah kewajaran atas pertimbangan akal yang waras tanpa dipengaruhi mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan individu dan tujuan politik sebagai taktik kotor mendapat pengaruh, lantas penilaian tersebut menjadi penentu sama ada ia benar atau sebaliknya.
Lantaran kejayaan BN yang ditunjangi UMNO sebagai pentadbir kerajaan yang berjaya, pembangkang merasa iri hati ekoran kepentingan peribadinya tidak dapat dipuaskan hinggakan sanggup menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam dengan melemparkan tohmahan dan hasutan sebagai provokasi bagi merosakkan kesinambungan pentadbiran BN.
Memang diakui bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kesilapan ekoran kemenangan besar dalam pilihan raya 2004 berlaku tetapi dalam pilihan raya ke-12 yang lalu, ia telah pun dijadikan sebagai ikhtibar dan tauladan agar tidak berulang kesalahan yang sama.
Ekoran itu, gerakan bersepadu yang dilakukan oleh pihak pembangkang dengan memburuk-burukkan UMNO/BN dan kini SPR ingin dijadikan ‘kambing hitam’ kerana mereka tahu bahawa sekiranya UMNO/BN tiada maka kerajaan akan hancur….
Lantas, ingatlah kembali, 1Impian, 1Malaysia!
You must be logged in to post a comment.