BeritaRencana

Program Berbuka Puasa Maidatul Al-Rahman Dapat Sambutan

PUTRAJAYA – Seramai 400 warga Pusat Pentadbiran Persekutuan memeriahkan program berbuka puasa Maidatul Al-Rahman anjuran UMNO Bahagian ini di Medan Selera Presint 8 pada hari pertama berpuasa yang berkonsepkan penyediaan juadah berbuka puasa secara percuma untuk penduduk sepanjang Ramadhan.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata program yang dianjurkan itu bertujuan menolong fakir-fakir miskin dan juga warga Putrajaya.

Katanya, program seumpama itu penting untuk mengeratkan hubungan silaturrahim warga Putrajaya selain menyemarakkan amalan bersedekah.

“Program ini dilaksanakan dengan dua kaedah iaitu menyediakan juadah berbuka puasa di Medan Selera Presint 8 pada setiap hari di bulan Ramadhan.

“Pada masa sama, kita juga menghantar juadah berbuka puasa kepada setiap penduduk di kawasan sekitar mengikut blok kediaman,” katanya.

Menurut Tengku Adnan, program tersebut akan diteruskan pada tahun hadapan memandangkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

“Awalnya kita hanya mensasarkan 200 orang namun sebaliknya apabila kira-kira 400 tetamu hadir pada majlis berbuka puasa ini,” katanya.

Beliau turut berbesar hati kerana majlis yang dikhususkan untuk orang Islam turut disertai oleh bukan Islam.

Beliau berkata, kehadiran mereka menunjukkan rakyat berbilang kaum di negara ini semakin menghayati gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka menerima jemputan untuk menyertai majlis ini dalam semangat 1Malaysia,” katanya.