Ucapan

Maidatul Al-Rahman Beri Keinsafan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, kita telah memasuki pertengahan Ramadan dan sepenuh kesyukuran dipanjatkan kerana kita dapat menunaikan ibadah puasa ini tanpa sebarang keuzuran selain pengisian-pengisian penting dalam bulan barakah ini.

Sesungguhnya, bersandarkan kepada program Maidatul Al-Rahman yang dianjurkan di Medan Selera Presint 8, saya banyak mempelajari erti kehidupan, kesyukuran dan keinsafan atas rahmat-Nya kepada kita semua.

Dengan juadah makanan yang disediakan selain ada yang diagihkan ke blok-blok sekitar Putrajaya, saya dapat melihat bagaimana aman, sejahtera dan bahagianya kita apabila dapat mengecap nikmat kurniaan Allah bersama-sama dalam satu ruang tanpa sebarang kemalaratan. Kita dapat melakukan ibadah puasa dan kemudiannya berbuka dan berterawih bersama-sama tanpa ada rasa gelisah atau curiga akan ketenteraman yang ada.

Dalam pada tangan saya menyuap makanan, saya terbayang saudara-saudara sesama Islam kita di negara-negara bergolak, pastinya ketakutan menyelubungi selain keperluan makanan yang sangat terhad. Begitu juga dengan negara-negara yang kekurangan sumber sebagaimana diberitakan di Somalia yang saban hari pasti ada saja kematian ekoran kebuluran.

Kita bersyukur dengan nikmat yang kita ada lantas kita perlu sentiasa berusaha agar kesejahteraan dan keamanan yang kita ada akan terus berkekalan untuk masa depan anak cucu dan generasi akan datang.

Apa pun, saya ucapkan terima kasih kerana menjayakan program Maidatul Al-Rahman sepanjang Ramadan ini.