Pastikan Sifat-Sifat Murni Berterusan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Kemeriahan Syawal masih lagi terasa dengan sambutan Aidilfitri diadakan sebagai satu alternatif dengan menjadikan jamuan Hari Raya untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan merapatkan jalinan ukhwah dalam masyarakat.
Saban hari, pasti ada saja jemputan ke majlis rumah terbuka saya terima dan hujung minggu baru-baru ini saya luangkan masa memenuhi jemputan bukan sahaja jamuan di sekitar Putrajaya tetapi juga melangkau ke UMNO bahagian-bahagian yang lain, antaranya ialah UMNO Bahagian Setiawangsa, Segambut, Kepong, Wangsa Maju, Seputeh, Bukit Bintang dan Lembah Pantai.
Selepas sahaja menghadiri persidangan United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) di Sabah bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 24 September, saya terus bergegas ke kawasan sekitar Putrajaya bagi memenuhi undangan rumah terbuka.
Walaupun jadual saya padat dengan pelbagai jemputan tetapi saya gembira kerana dapat memenuhi hasrat masyarakat khususnya Ketua-ketua Bahagian, ketua-ketua cawangan, Pengerusi Persatuan Penduduk, ahli jawatankuasa penduduk dan masyarakat tempatan.
Dalam setiap majlis, saya dapat merasai kegembiraan dan kesejahteraan dengan semangat kebersamaan yang masih menebal, bekerjasama, bergotong-royong dan mengaplikasikan semua nilai-nilai murni yang dituntut dalam Islam.
Saya berharap kita akan terus melaksanakan semua amalan-amalan baik yang kita tanamkan sepanjang Ramadan untuk terus dibajai agar menyubur kekal dan utuh dalam budaya kehidupan kita sehari-hari.
Sesungguhnya, keindahan Islam bukanlah terletak pada hanya seorang individu tetapi ia mesti dilaksanakan secara berkelompok dalam satu masyarakat.
Wassalam